Laporan IMELC Tahun 2025
Laporan IMELC 2025 https://fliphtml5.com/bookcase/nakpb

Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) merupakan projek berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak dari tahun 2013.
Pelaksanaan IMELC bagi tahun 2025 adalah dengan kerjasama antara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), SWM Environment Sdn. Bhd., dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai Rakan Utama, manakala Majlis Perbandaran Segamat dan Heng Hiap Industries selaku Rakan Sokongan. IMELC 2025 turut mendapat sokongan daripada United Nations Children's Fund (UNICEF). Sejak tahun 2021, IMELC telah didigitalkan sepenuhnya dan dijalankan melalui laman web yang ditaja oleh United Nations Development Programme (UNDP) Accelerator Labs serta disokong oleh Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities (GTALCC). IMELC merupakan salah satu aktiviti utama di bawah RCE Iskandar - Regional Center of Expertise on Education for Sustainable Development yang disokong oleh United Nations University (UNU).
IMELC bertujuan untuk mewujudkan kesedaran Masyarakat Rendah Karbon (LCS) dalam kalangan pelajar, guru, dan keluarga mereka, bagi mencapai sasaran pengurangan karbon untuk Iskandar Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 (LCSBPIM2025). Pada November 2022, IRDA telah melancarkan Pelan Tindakan Iklim Iskandar Malaysia 2030 semasa Persidangan Parti ke-27 (COP27) di Mesir sebagai respons terhadap isu perubahan iklim global. Dokumen ini mengiktiraf IMELC sebagai antara program utama bagi menyokong elemen Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dalam inisiatif rendah karbon di Iskandar Malaysia. MELC sejajar dengan komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050, dengan matlamat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45% menjelang tahun 2030. Sebagai satu aktiviti pembelajaran berasaskan pendidikan alam sekitar dan rendah karbon, IMELC dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan formal dan tidak formal di persekitaran sekolah. Ia juga boleh dijalankan sebagai aktiviti tambahan atau pertandingan antara sekolah yang mendorong kepada pembelajaran aktif, amalan hijau, serta kolaborasi komuniti sekolah. IMELC turut menjadi salah satu program utama di bawah Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019–2025, yang bertujuan memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan murid dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Laporan IMELC 2025 https://fliphtml5.com/bookcase/nakpb
----------------------
Tahun 2025 menandakan tahun ke-13 pelaksanaan IMELC, yang telah memberi manfaat kepada lebih 100,000 murid Tahun 6 daripada 909 sekolah rendah di seluruh Johor, dengan jangkauan kepada lebih 500,000 warga sekolah.

Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada semua warga pendidik atas usaha gigih dan komitmen yang telah ditunjukkan sepanjang tahun 2025. Kejayaan yang dicapai ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi merupakan hasil daripada dedikasi, kerjasama dan semangat berpasukan yang luar biasa. Semoga segala usaha ini terus menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Sesungguhnya, kejayaan ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sumbangan setiap individu di peringkat sekolah — daripada guru penyelaras, guru pembimbing, guru besar, murid-murid, serta seluruh warga sekolah yang sentiasa komited dalam menjayakan setiap inisiatif yang dirancang.
Penghargaan juga dirakamkan kepada pegawai SISC+, pihak PPD, rakan agensi serta para penaja yang sentiasa memberi sokongan padu, bimbingan dan kerjasama strategik dalam memastikan kelestarian program ini.
Semoga laporan ini menjadi sumber inspirasi dan panduan untuk meneruskan usaha murni IMELC dalam membentuk generasi wira tindakan iklim — yang cakna, berdaya saing, dan berperanan aktif dalam mewujudkan masa depan yang lestari untuk Johor dan Malaysia.