Johor Bahru, Johor, Malaysia

Berita & Aktiviti

Laporan IMELC Tahun 2024

Laporan IMELC 2024 https://fliphtml5.com/bookcase/nakpb


Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) merupakan projek berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ)Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak dari tahun 2013.

Pelaksanaan IMELC bagi tahun 2024 adalah dengan kerjasama antara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP)SWM Environment Sdn. Bhd., dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai Rakan Utama, manakala Majlis Perbandaran Segamat dan Heng Hiap Industries selaku Rakan Sokongan. IMELC 2024 turut mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah dan United Nations Children's Fund (UNICEF)Sejak tahun 2021, IMELC telah didigitalkan sepenuhnya dan dijalankan melalui laman web yang ditaja oleh United Nations Development Programme (UNDP) Accelerator Labs serta disokong oleh Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities (GTALCC)IMELC merupakan salah satu aktiviti utama di bawah RCE Iskandar - Regional Center of Expertise on Education for Sustainable Development yang disokong oleh United Nations University (UNU).

IMELC bertujuan untuk mewujudkan kesedaran Masyarakat Rendah Karbon (LCS) dalam kalangan pelajar, guru, dan keluarga mereka, bagi mencapai sasaran pengurangan karbon untuk Iskandar Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 (LCSBPIM2025). Pada November 2022, IRDA telah melancarkan Pelan Tindakan Iklim Iskandar Malaysia 2030 semasa Persidangan Parti ke-27 (COP27) di Mesir sebagai respons terhadap isu perubahan iklim global. Dokumen ini mengiktiraf IMELC sebagai antara program utama bagi menyokong elemen Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dalam inisiatif rendah karbon di Iskandar Malaysia. MELC sejajar dengan komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050, dengan matlamat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45% menjelang tahun 2030. Sebagai satu aktiviti pembelajaran berasaskan pendidikan alam sekitar dan rendah karbon, IMELC dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan formal dan tidak formal di persekitaran sekolah. Ia juga boleh dijalankan sebagai aktiviti tambahan atau pertandingan antara sekolah yang mendorong kepada pembelajaran aktif, amalan hijau, serta kolaborasi komuniti sekolah. IMELC turut menjadi salah satu program utama di bawah Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019–2025, yang bertujuan memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan murid dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan IMELC 2024 https://fliphtml5.com/bookcase/nakpb

----------------------

Tahun 2025 menandakan tahun ke-13 pelaksanaan IMELC, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 murid Tahun 6 daripada 909 sekolah rendah di seluruh Johor, dengan jangkauan kepada lebih 500,000 warga sekolah.

Semoga laporan ini menjadi sumber inspirasi dan panduan untuk meneruskan usaha murni IMELC dalam membentuk generasi wira tindakan iklim — yang cakna, berdaya saing, dan berperanan aktif dalam mewujudkan masa depan yang lestari untuk Johor dan Malaysia.