Johor Bahru, Johor, Malaysia

Mengenai IMELC

Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) merupakan projek berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak dari tahun 2013. Pelaksanaan IMELC bagi tahun 2024 adalah dengan kerjasama antara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), SWM Environment Sdn. Bhd., dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai Rakan Utama manakala Majlis Perbandaran Segamat dan Heng Hiap Industries selaku Rakan Sokongan. IMELC 2024 turut mendapat sokongan dari Yayasan Hasanah dan UNICEF. Sejak dari tahun 2021, IMELC telah didigitalkan dan dijalanankan sepenuhnya melalui laman web yang ditaja oleh United Nations Development Programme atau UNDP Accelerator Labs dan disokong oleh Green Technology Application of the Development of Low Carbon Cities (GTALCC). IMELC ialah salah satu aktiviti utama di bawah RCE Iskandar - Regional Center of Expertise (RCE) on Education and Sustainable Development yang disokong oleh United Nations University. IMELC bertujuan untuk mewujudkan kesedaran Masyarakat Rendah Karbon (LCS) dalam kalangan pelajar, guru, dan keluarga mereka dalam mencapai sasaran pengurangan karbon untuk Iskandar Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 (LCSBPIM2025). Pada November 2022, IRDA melancarkan Pelan Tindakan Iklim Iskandar Malaysia 2030 pada Persidangan Parti (COP) ke-27 di Mesir untuk menangani masalah perubahan iklim yang semakin meningkat. Dokumen itu memperakui IMELC sebagai salah satu program utama bagi Meningkatkan dan Menyokong Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) inisiatif rendah karbon Iskandar Malaysia. IMELC sejajar dengan sasaran Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal 2050 dengan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 45% pada 2030. IMELC merupakan aktiviti pembelajaran pelajar LCS yang dijalankan secara pendidikan formal atau tidak formal di persekitaran sekolah. Ia juga boleh dijalankan sebagai aktiviti pembelajaran tambahan atau pertandingan antara sekolah. IMELC adalah sebahagian daripada program di bawah Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2025 untuk mengembangkan budaya pembangunan lestari di kalangan para pelajar dan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 2024 merupakan tahun ke dua belas (12) pelaksanaan IMELC dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 pelajar Tahun 6 dari 907 sekolah rendah di Johor.